Jumaat, 13 Mac 2009

Norza Hadapi Dua Tuduhan Rasuah

TEMERLOH, 13 Mac (Bernama) — Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Mohamad Norza Zakaria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini terhadap dua pertuduhan memberi rasuah kepada dua individu pada 20 Jan lepas.
Mohamad Norza, 43, yang juga Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, didakwa melakukan perbuatan itu pada 6.30 petang di No 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh, di sini.
Beliau didakwa secara rasuah telah memberikan kepada Khadri Musa melalui Halimi Kamaruzzan suatu suapan iaitu wang tunai RM1,500 sebagai dorongan untuk diagihkan kepada anggota-anggota perwakilan yang boleh membantu mengundi beliau untuk memenangi jawatan sebagai ahli MT Umno pada pemilihan Umno hujung bulan ini.
Di tempat yang sama dan pada tarikh dan waktu yang sama, Mohamad Norza didakwa secara rasuah memberikan kepada Mohammad Anuar Yunus, juga melalui Halimi Kamaruzzaman, suatu suapan iaitu wang tunai RM1,900 sebagai dorongan untuk diagihkan kepada anggota-anggota perwakilan yang boleh membantu mengundi beliau untuk memenangi jawatan MT Umno pada pemilihan Umno itu nanti.

Tiada ulasan: